Monday, April 18, 2011

Usaha Pemeliharaan dan Pemuliharaan


Mengikut kamus dewan, pelihara bermaksud sebagai membela, menjaga, dan merawat. Manakala pulihara pula membawa maksud memulihkan dan melindungi sesuatu supaya sentiasa berada dalam keadaan baik. Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan pula adalah rancangan serta pelaksanaan yang dilakukan untuk tujuan tersebut. 

Dalam konteks dunia pancing, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan adalah bertujuan untuk memastikan kesinambungan dan kelestarian habitat serta spesies ikan di habitat tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak diancam kepupusan. 

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan habitat dan spesies ikan-ikan tertentu di habitat liar mereka terjamin termasuklah pelaksanaan santuari, memperkenalkan sistem TAGAL, dan juga memperkasakan amalan tangkap dan lepas.   

Negara Barat

Alangkah bagus jika negara kita dapat mencontohi negara-negara barat yang bukan saja maju dari segi sains dan teknologi malahan juga dari segi minda. Jika dilihat melalui tayangan saluran Astro seperti National Geographic, Animal Planet dan seumpamanya, program-program pemeliharaan dan pemuliharaan yang dijalankan mereka begitu berkesan dalam mendidik rakyat mereka supaya bersama-sama menjaga ekosistem alam di tempat mereka. 

Contoh yang paling mudah yang dapat diambil adalah melalui kegiatan perikanan. Mereka telah berjaya mewujudkan sektor perikanan yang begitu sistematik. Untuk menuai hasil laut, kerajaan mereka telah menetapkan undang-undang di mana terdapat kawasan-kawasan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk menangkap ikan serta pada masa-masa tertentu sahaja. 

Walaupun ia telah termaktub dalam perundangan, mereka bukan sahaja tidak melanggar arahan-arahan tersebut malah sentiasa membuat kajian demi kajian untuk memastikan kesinambungan habitat serta penghuni laut mereka terpelihara.     

Bukan nak merendahkan bangsa sendiri tapi itulah hakikatnya yang berlaku di kalangan orang-orang kita yang rata-ratanya masih di takuk yang lama. 

Dahulu & Sekarang

Cuba imbas kembali potensi  padang-padang pancing yang ada di negara kita ini 10 tahun dahulu berbanding sekarang. Bagi yang pernah bertandang ke lokasi-lokasi pancingan yang tersohor seperti Tasik Kenyir, Tasik Banding atau Temenggor sudah pasti anda dapat merasai perbezaannya. Bagaimana pula untuk 10 tahun yang akan datang?

Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat perbezaananya. Sekarang, cuba lihat di tempat tinggal atau kampung masing-masing. Suatu masa dahulu pelbagai jenis ikan dapat diperolehi dengan mudah di kawasan sekitar kampung. Haruan, puyu, keli, sepat dan sebagainya. Tapi, ke mana menghilangnya semua ikan-ikan ini sekarang?. 

Saya sendiri pernah mengalaminya ketika zaman kanak-kanak dahulu. Haruan sebesar 1-2 kilogram adalah perkara biasa jika terkena pancing atau tajur di tali air belakang rumah. Apatah lagi ikan-ikan seperti lampam, baung, selat dan berbagai jenis lagi begitu banyak sekali. Boleh dikatakan setiap hari penduduk kampung akan mejalankan aktiviti perikanan di tali air ini sama ada memancing, menjaring, menjala dan yang paling menyedikan adalah menuba. Dan ikan-ikan yang diperolehi tidak kira besar atau kecil sudah semestinya akan di bawa pulang. Lama-kelamaan, ikan-ikan di tali air ini hampir tiada sama sekali sehinggakan nak dapatkan seekor ikan lampam pun susah. 

Justeru, jika keadaan sama masih berlaku, sukar untuk kita bayangkan apa yang akan berlaku terhadap padang-padang pancing di negara kita suatu hari nanti. Tiada siapa yang rugi melainkan diri kita sendiri dan anak cucu kita nanti. 

Tangkap & Lepas

Bagi kaki-kaki pancing, mereka telah pun dicanangkan dengan amalan tangkap dan lepas, ‘selected harvest’ dan yang paling dibanggakan adalah ‘tagging’ yang dijalankan oleh sekumpulan pemancing tempatan. Tujuan semua usaha ini dibuat adalah untuk mengekalkan populasi ikan-ikan yang ada demi untuk generasi yang akan datang. 

Namun begitu, tidak semua kaki pancing dapat mengikutinya dengan baik. Masih ramai lagi yang tidak menyedari kepentingan amalan ini. Kebanyakan mereka beranggapan bahawa apa gunanya buang masa berjam-jam jika ikan yang berjaya diperolehi dilepaskan semula. 

Sebenarnya, bukanlah tiada ikan langsung yang boleh diambil pulang. Sebab itulah wujudnya amalan yang dipanggil ‘selected harvest’ atau penuaian terpilih. Ikan-ikan yang diambil seharusnya mengikut keperluan dan tidak berlebih-lebihan. Cukuplah sekadar mengambil ikan untuk dimakan sewaktu trip. Jika ingin dibawa pulang ke rumah, ambillah sekadar untuk ahli keluarga merasai ikan tersebut dan bukanlah untuk dibuat stok dalam jangka masa yang panjang. 

Selain itu, kita juga haruslah melakukan amalan penuaian terpilih dari segi umur dan size ikan yang dipancing. Bagi ikan-ikan yang masih kecil dan belum cukup tempoh matang, seharusnya dilepaskan kembali. Begitu juga dengan ikan yang bertaraf induk yang telah mampu mengeluarkan telur juga harus dilepaskan kembali demi untuk memastikan spesies ikan tersebut mampu berkembang dan tidak pupus.

Usaha Bersama

Dalam keadaan yang sedang berlaku sekarang, kita tidak boleh lagi menunding jari kepada mana-mana pihak. Kita tidak boleh lagi mengharapkan hasil usaha pihak tertentu sahaja. Tanggungjawab ini seharusnya dipikul oleh semua individu terutamanya kaki-kaki pancing jika mereka menyayangi hobi hanyir mereka ini. 

Antara usaha yang paling mudah untuk dilakukan oleh kebanyakan kaki pancing pada pengamatan saya adalah mendidik generasi baru atau orang yang baru berjinak dalam dunia pancing untuk mengamalkan tangkap, gambar, dan lepas. Ini termasuklah anak-anak kita, adik-adik kita, dan sahabat handai kita yang baru berjinak-jinak dengan dunia pancingan. Jika dilatih dari awal, mereka akan lebih cenderung untuk melakukan perkara yang sama di kemudian hari. Bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Hakikatnya, perkara yang paling penting dalam merealisasikan impian ini adalah kita sendiri yang perlu mengamalkannya dengan ikhlas. Bukanlah melakukannya untuk menunjuk-nunjuk ketika trip memancing bersama ‘selebriti-selebriti pancing tanah air’, takut dikutuk rakan-rakan yang mengamalkannya, atau melakukannya supaya mendapat ‘title pro’. Kita sepatutnya melakukan dengan perasaan penuh rela walaupun ketika kita memancing berseorangan. 

Harapan 

Andai kesedaran ini timbul dari dalam diri setiap individu, tidak mustahil negara kita mampu menjadi seperti negara-negara barat atau timur yang begitu maju dalam industri pancingan mereka sehingga mampu menjana pendapatan sehingga berbillion dollar. 

Sebelum ini, saya pernah mendengar rungutan dari seorang kawan yang belajar di sebuah negara barat. Beliau merungut apabila memancing di sini kerana begitu sukar untuk mendapatkan ikan walaupun seekor. Begitu berbeza dengan negara yang beliau sedang menuntut ketika itu kerana acara mengilat boleh dilakukan di dalam parit di tepi-tepi rumah sahaja dengan jumlah ikan yang banyak. 

Jika kita bersatu padu bersama-sama menyahut seruan ini, mungkin suatu hari nanti negara kita akan menjadi sebuah negara yang terkenal dengan padang pancing yang terbaik di dunia. Jika mereka begitu menyanjungi large mouth bass, apa kurangnya sebarau dan toman di negara kita. Rasanya, kedua-dua spesies ini mempunyai daya juang yang lebih kuat lagi berbanding large mouth bass mereka. Cuma yang menjadi kelemahannya adalah ikan di tempat kita begitu kurang jumlahnya berbanding di tempat mereka. 

Oleh itu, harapan menggunung dipanjat agar semua pihak dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam merealisasikan impian ini. Semoga usaha konservasi yang dicanangkan selama ini dapat diamalkan oleh semua pihak agar negara kita dapat menjadi lokasi pancingan yang terbaik di dunia. InsyaAllah!       

Anak toman yang masih mempunyai jalur di badan dituai dengan begitu banyak sekali. Inilah yang akan berlaku sekiranya kurangnya kesedaran di kalangan kaki pancing.

Sedih semasa melihat anak toman ini disiang. Rasanya anak ikan toman ini tidaklah sedap mana untuk dimakan jika dibandingkan dengan ikan kembung dipasar.Jika masih ramai lagi bersikap sedemikian, ikan toman mungkin akan pupus buat selama-lamanya.

Di usia sebeginilah kita wajar mendidik mereka untuk melakukan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan. Dan kita pula seharusnya menjadi contoh tauladan kepada mereka dan bukan sebaliknya.

Setiap kaki pancing sewajarnya mempraktikkan amalan tangkap dan lepas untuk menjamin kelestarian spesies ikan tempatan yang menjadi kebanggaan kita.

6 comments:

This line starts after some blank space at left This line starts after some blank space at left This line starts after some blank space at left
This line starts after some blank space at left