Saturday, April 30, 2011

Ilmu Jalanan


Malam ini gua tak dapat tidur. Tiba-tiba gua rasa nak casting. Jam baru pukul 2 pagi. Gua ambil jam yang tergantung di bilik gua lalu gua pusing jarumnya jadi pukul 7 pagi. Tiba-tiba suasana gelap bertukar cerah. Bukan semua orang dapat lakukan seperti gua lakukan. Gua ada ilmu belajar dari seorang guru di kampung gua. Guru gua lagi hebat, beliau boleh hidupkan motor guna air paip saja. Nak kenal siapa guru gua?

Baiklah. Biar gua cerita dulu siapa guru gua itu. Beliau dikenali dengan nama Tok Hassan. Orang yang berasal dari Pasir Mas kebanyakan kenal dengan beliau ni. Nak jadi cerita satu malam beliau terserempak seorang pemuda yang sedang menolak motor. Beliau tanya kenapa tolak motor dan pemuda itu jawab motor habis minyak. Beliau kemudiannya bergegas cari botol kosong dan mengisinya dengan air paip lalu dituangkan kedalam tangki minyak motor pemuda terbabit. Dia kemudiannya menyuruh pemuda itu menghidupkan motornya. Dan dengan izin Allah motor itu hidup seperti sedia kala. Beliau berpesan kepada pemuda itu supaya jangan buka tangki minyak sampailah ke tempat yang ingin dituju. Sampai ke tempat yang dituju pemuda itu berasa pelik dan ingin tahu apa yang dituang ke dalam tangki motornya lalu dibuka. Selepas itu motor tersebut tidak dapat dihidupkan semula.

Ok. Cerita Tok Hassan itu adalah cerita benar dan cerita gua pula tipu semata-mata. Gua bukanlah anak murid beliau bahkan gua sendiri pun tak pernah jumpa beliau. Tapi inilah ilmu gua. Ilmu Pem-Bau-Hung yang gua belajar dari seorang kenalan berbangsa Cina di Perak dulu.

Gua, Pali dan Poman sedang menaiki kereta menuju ke lokasi yang bakal kami gempur sebentar lagi sebelum tiba-tiba kereta Poman berhenti tiba-tiba. Bila diperiksa rupa-rupanya kereta beliau kehabisan minyak. Gua dengan pantas mencari sebiji botol kosong lalu diisi dengan air lombong dan dituang ke dalam tangki minyak kereta Poman. Dengan automatiknya kereta Poman dapat dihidupkan kembali dan bergerak seperti biasa. 

Di lokasi pancingan kami casting bertalu-talu. Gewang jatuh ke atas air bagai hujan turun mencurah-curah. Namun kami tetap kumpau. “Mana perginya semua ikan ni” bisik gua sambil tangan masih menghayun joran. 

Ketika ini gua lihat Pali dan Poman sedang berehat di bawah sebatang pokok. Gua biarkan mereka. Gua masih memerah otak memikirkan apa yang tak kena. Gua mencari idea. Tiba-tiba gua teringatkan satu petua orang-orang tua di kampung gua amalkan.

Kata orang-orang tua kampung gua, ikan ni kalau pagi-pagi nak kena kejutkan baru mereka makan. Macam kita juga selalu kena kejutkan oleh mak kita supaya makan sarapan. Kalau mak kita selalunya dia kejut dengan cara tepuk-tepuk atau goncang-goncangkan tubuh kita. Betul tak?

Gua pun lantas letak joran dan duduk di gigi air. Dengan kedua-dua belah tapak tangan, gua tepuk tangan gua di permukaan air sambil berkata “ Nak, bangun nak. Bangun makan pagi” ala-ala seorang ibu yang penyayang gitu.    

Kemudian gua sambung casting. Pali dan Poman juga sambung casting. Tak sampai 10 minit, Poman akhirnya berjaya mendapatkan lesen pada pagi itu. Tewas seekor ikan lohan menggunakan spin-fly. Wah, nampaknya petua orang-orang tua kampung gua terbukti benar dan berkesan!

Tidak lama kemudian, Pali pula berjaya menjinakkan seekor peacock bass menggunakan X-rap Glass Ghost. Selang beberapa ketika sekali lagi Pali berjaya menewaskan seekor lagi peacock bass dengan gewang yang sama. Gua semakin yakin dengan petua tersebut. Tidak sia-sia gua melepak di kedai kopi mak saudara gua bersama orang-orang tua di kampung gua. Dapat la cilok satu dua petua dari mereka. Meraka yang lebih banyak makan garam dari kita sudah tentu banyak ilmu-ilmu yang berguna. Tidak rugi jika kita melepak dan mengikuti mereka melakukan kerja-kerja harian mereka. 

Selepas itu, kami bertiga bergilir-gilir menaikkan ikan dari spesies lohan dan peacock bass. Walaupun tidak besar tapi sudah cukup memuaskan apabila ada ikan yang sudi membaham gewang-gewang yang disuakan. Penat casting kami mengambil roti yang dibawa sebagai bekal dan dijadikan umpan untuk memancing ikan dengan teknik ‘bottom’. Kami menukar agenda kepada bottom untuk menghilangkan penat casting. Sambil-sambil menunggu ikan menggetus umpan, kami dapat berborak-borak serta merancang masa depan. 

Setelah mengenal pasti masa depan yang bakal kami tempuh, kami sepakat untuk menamatkan sesi pancingan kami pada hari ini. Pesanan gua kepada saudara dan saudari di luar sana, ilmu itu ada di mana-mana saja dan tidak semestinya di dalam kelas atau di dalam buku semata-mata.  Setiap perjalanan yang kita lalui itu penuh dengan ilmu di kiri kanan kita. Setiap orang yang kita jumpa itu boleh menjadi medium ilmu bagi kita jika kita bijak mengambil kesempatan. 

Apa yang pasti, hari ini gua berjaya memantapkan salah satu ilmu gua iaitu ilmu Pem-Bau-Hung. Semoga berjumpa lagi di lain masa. Semoga anda mendapat keberkatan dalam setiap ilmu yang dipelajari.

 “Tuntutlah Ilmu dari Buaian Sehingga ke Liang Lahad”.    

Poman memecahkan kebuntuan dengan seekor lohan dengan teknik spin-fly

lesen pb pertama pada hari itu dengan rapala x-rap GG

tersenyum kawan kita dapat lesen pb. Juga dengan teknik spin-fly

pb kedua Pali masih lagi dengan x-rap GG

mask of zorrow dengan pb tunggal beliau pada hari itu. pb ini diperdayakan dengan gewang strike pro. murah namun begitu berkesan untuk pb

anak toman sesat bantai gewang yang dsuakan kepada pb

hasil bottom setelah penat casting seekor ikan patung atau ikan kepar

memancing sambil bersantai

jelawat pun ada tapi bersize agak kecil. Memadai untuk memancing secara santai

No comments:

Post a Comment

This line starts after some blank space at left This line starts after some blank space at left This line starts after some blank space at left
This line starts after some blank space at left