Sunday, April 10, 2011

Trip Muhibbah


Pukul 5.30 pagi gua sudah bangun. Mandi ala kadar, persiapkan segala senjata gua, dan packing apa yang patut sementara menunggu masuknya waktu subuh. Selesai saja menunaikan rukun Islam yang kedua, gua dan seorang membe gua, Topek bergerak menuju ke pekan Malim Nawar. Di situ kami akan bertemu dengan satu kumpulan pengilat tegar yang datang dari Kuala Lumpur. Tujuan kedatangan mereka ke Perak adalah semata-mata untuk mengilat spesies Cichla Monoculus atau lebih dikenali dengan nama Peacock Bass!

Selesai bersarapan di Pekan Malim Nawar, gua, Topek bersama geng-geng pengilat yang baru sampai dari Kuala Lumpur ini meneruskan perjalanan menuju ke lokasi pancingan yang bakal kami gempur sebentar lagi. Lokasi pancingan kami pada kali ini terletak di Kota Bharu berhampiran Makam Teja. 

Masing-masing mengilat dengan penuh konsentrasi di spot-spot yang dianggap berpotensi. Sambil mengilat kami berkenal-kenalan serta beramah mesra. “Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Tak gitu?. Inilah sebenarnya kelebihan sukan pancingan yang tidak disedari secara tidak langsung oleh kebanyakan orang. Mereka hanya tahu membedil secara membabi buta mendakwa memancing  itu suatu pembaziran dari segi masa dan wang ringgit. Hakikatnya, ukhuwah yang terjalin melalui sesi pancingan itu nyata tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. 

Di lokasi ini, hanya seekor peacock bass berjaya dijerat menggunakan spin fly. Itu pun yang masih berhingus lagi. Selain baby peacock bass, seekor haruan yang agak kasar juga turut terpedaya dengan lenggokan gewang pensil. Seekor tilapia yang garang menjaga sarangnya cuba mengusir gewang yang melintas melalui sarangnya terkena mata kail gewang di badannya. Kejadian foul-hook ini selalu terjadi apabila ikan menggunakan badanya untuk melibas gewang menggunakan badan mereka dengan tujuan untuk mengusir demi menjaga kawasan atau sarang mereka. 

Kami bersepakat untuk berpindah lokasi. Setelah kata putus diambil, kami bersetuju untuk menduga di Air kuning. Semasa singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat Zuhur, hujan mencurah-curah turun dengan lebatnya membasahi bumi. Kami terkandas hampir 2 jam sementara menunggu hujan berhenti. Akibat hujan lebat itu juga, jalan untuk memasuki ke lombong Air Kuning yang telah sedia maklum rosak menjadi bertambah teruk. Jalan tanah yang berselut itu ditambah dengan lopak-lopak yang digenangi air yang agak dalam membuatkan perjalanan menjadi begitu lama. 

Namun, di sinilah nilai-nilai seperti tolong-menolong dan semangat kerjasama dapat dipupuk. Walaupun baru pertama kali bertemu, tetapi kami dapatkan tonjolkan keakraban yang begitu luar biasa. Tiada langsung konflik yang berlaku sebaliknya perasaan ambil berat di antara satu sama lain. Perjalanan yang begitu sukar pun akhirnya berjaya diatasi oleh kami dan menjadi mudah. 

Di Air Kuning masing-masing berpecah untuk meneroka spot-spot yang dirasakan berpotensi dihuni oleh peacock bass-peacock bass gadang. Gua dan Topek mengambil keputusan untuk berjalan ke depan sedikit untuk meninjau keadaan di sana sebelum terserempak dengan sekumpulan anak toman yang sedang boliling mengejar anak-anak ikan. Lontaran popper ke arah kawanan anak-anak toman itu disambut garang oleh anak-anak toman itu. Sempat beberapa ekor anak toman ditipu sebelum kawanannya bergerak ke tengah lombong. 

Kami meneruskan pemburuan ikan yang menjadi spesies target trip ini iaitu peacock bass. Letupan popper di permukaan air berjaya membuka selera si pb untuk melahap popper milik Asuad. Seekor pb sederhana besar berjaya ditewaskan oleh otai yang berasal dari Pahang ini. Seekor lagi pb juga terpikat dengan popper milik Apek ditewaskan sebelum kami mengambil keputusan untuk berpindah lokasi lagi. Kami terpaksa keluar dari Air Kuning lebih awal kerana perlu mengharungi sekali lagi jalan yang teruk tadi. Jika keadaan menjadi gelap, dikhuatiri akan membuatkan perjalanan bertambah sukar. 

Lokasi terakhir kami untuk trip kali ini adalah berhampiran sebuah universiti tempatan di daerah Gopeng. Lombong yang kami duga ini sebenarnya lombong yang terletak di dalam kawasan universiti tersebut. Hanya sebahagian daripada lombong ini yang dibina tempat rekreasi sahaja dibenarkan memancing. Ketika kami datang, ramai pelajar-pelajar universiti ini beriadah di sini sama ada menunggang basikal atau jogging. Ada juga segelintir daripada mereka memancing dan sesetengah daripada pelajar yang memancing ini terdiri daripada kaum hawa. Begitu juga penduduk tempatan yang datang untuk memancing di sini kelihatan agak ramai.

Memandangkan spot-spot untuk casting agak terhad, kami memilih untuk casting di hujung lombong di mana orang agak sedikit. Di sini kami hanya casting sambil santai sahaja tanpa menaruh harapan yang tinggi untuk mendapatkan sang ikan. Penat casting kami letakkan joran dan duduk berbual-bual berkongsi pengalaman tentang trip-trip yang lalu. 

Ketika orang lain sedang berehat, saudara Coco yang masih casting tiba-tiba menjerit. Kami bergegas mendapatkan beliau. Rupanya-rupanya seekor peacock bass yang agak besar telah membaham spinfly beliau. Pertarungan yang akhirnya berpihak kepada saudara Coco mencatatkan keputusan yang agak memberangsangkan. Seekor peacock bass yang akhirnya menjadi peacock bass terbesar trip berjaya ditewaskan beliau. 

Trip kami diakhiri dengan makan malam di sebuah restoran Tom Yam terkenal di daerah Gopeng. Kesempatan itu di ambil oleh kami untuk bertukar-tukar pendapat, pengalaman serta ilmu tentang dunia memancing.

Rumusan yang dapat dibuat melalui trip-trip memancing yang gua pernah sertai adalah hobi hanyir ini sebenarnya mampu menjadi medium untuk seseorang itu mendapatkan kenalan-kenalan baru tidak kira di dalam negara sendiri mahupun di luar negara. Ukhuwah yang terjalin semasa menyertai trip-trip memancing selalunya tidak akan terputus begitu sahaja dengan adanya kemudahan teknologi di zaman serba moden ini termasuklah forum-forum memancing, facebook atau twitter. Justeru, pendapat mengenai pembaziran wang dan masa sebenarnya bergantung kepada usaha individu itu sendiri. Mereka haruslah pandai membahagikannya di antara hobi kesayangan mereka ini dengan hal-hal yang lain. 

Untuk ahli-ahli komplot di atas, saudara Topek , Asuad, Apek, Shuhail, Fared, Coco, Isma, dan Halmi terima kasih gua ucapkan kerana sudi meluangkan masa bersama-sama dan gua juga ingin meminta maaf dengan laluan ke Air Kuning yang agak menyayat hati itu. Semoga kita dapat berkomplot lagi di kemudian hari =) 

haruan ini digoda dengan gewang pensil
selamat tinggal kawan. semoga berjumpa lagi!
foul-hook si tilapia
satu-satunya peacock bass terjerat di Kota Bharu dengan spinfly
tengok apa tu bang?
saudara Isma sedang fokus casting

memeriksa sama ada kereta boleh melepasi atau tidak

gua & membe gua Topek casting keladi bunting
antara halangan yang terpaksa ditempuhi untuk sampai ke lombong Air Kuning
"ini gua rasa ada peacock bass ni"
anak toman begitu rakus membaham popper yang dihidangkan untuk si ibu
"selamat jalan. jangan tertipu lagi ye!"
begitu geram pb ini dengan popper yang berwarna oren
saudara Asuad dengan lesen pb beliau pada trip kali ini
Apek dengan pb beliau
pb terbesar trip ini diperolehi di Gopeng dengan teknik spinfly

No comments:

Post a Comment

This line starts after some blank space at left This line starts after some blank space at left This line starts after some blank space at left
This line starts after some blank space at left