Semasa memandu kereta menuju ke satu port memancing, gua dan Pali ternampak tompok-tompok putih dari kejauhan di atas air di lombong di depan kami. Ikan mati!...Tanggapan kami memang tepat apabila dihampiri lombong itu. Berpuluh-puluh ekor ikan tongsan sisik halus saiz anggaran 2 kg-3 kg seekor bergelimpangan mati di dalam air dan di gigi lombong. Sangat sedih melihat keadaan ini. Bau busuk semasa kami mengambil gambar menandakan ikan ini sudah mati melebihi 24jam.
Apakah ikhtiar yang boleh dilakukan oleh kita untuk membasmi aktiviti menuba ini?...Dari segi perundangan negara kita memang mengambil ringan perkara ini bahkan tiada langsung tindakan yang diambil untuk membasminya. Dari apa yang gua perhatikan, kebanyakan dari kita hanya mampu mengutuk, memarahi dan mencaci si pelaku melalui Facebook. Tapi apa yang dapat diselesaikan melaluinya?...Sudah tentu jawapannya tiada penyelesaian.
Hanya satu yang mungkin dapat sekurang-kurangnya mengurangkan aktiviti menuba ini terutamanya kepada generasi yang akan datang iaitu pendidikan. Tidak relevan lagi rasanya jika masih terus mengharap pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka melainkan melalui inisiatif individu yang mengambil berat akan hal ini. Setiap individu seharusnya memainkan peranan mereka sendiri menyampaikan, memberi didikan, dan mengubah minda generasi baru ini supaya tidak lagi memiliki minda kelas ketiga.
Di zaman yang serba canggih ini, pelbagai medium boleh digunakan sebagai alat untuk menyampaikan sekali gus mendidik generasi baru. Sebagai contoh Facebook. Jika digunakan secara maksima untuk tujuan kebaikan, Facebook boleh memberi impak yang besar dari semua aspek. Oleh yang demikian, ambilah peluang di atas kemajuan teknologi yang sedang kita nikmati sekarang ini untuk tujuan seumpama ini.
Gua berharap untuk tempoh 10 - 20 tahun akan datang, gua tidak akan lihat lagi ikan-ikan mati bergelimpangan akibat dari perbuatan tuba ini. Sama-samalah kita mengembeling tenaga dan berusaha memberikan pendidikan seawal yang mungkin terhadap generasi baru ini dengan harapan kegiatan menuba ini dapat dihapuskan sama sekali di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment